KUANTAN 12 April 2017 Bersamaan 15 Rejab 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah projek pembinaan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan pusat sangat diperlukan bagi pembangunan ekonomi di negeri ini.

Baginda bertitah projek laluan sepanjang 620 kilometer yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Pantai Timur itu sangat penting bagi memastikan pelaburanberterusan di negeri ini sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat. “Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak yang telah berjaya mendapatkan pelaburan berimpak tinggi dari negara China dalam pembinaan ECRL ini. “Ia bukan hanya dapat mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi juga melahirkan kesan putaran ekonomi. Ini baik untuk negeri Pahang dan harapan saya, projek ECRL ini seharusnya dinikmati oleh rakyat khususnya kontraktor dan pengusaha yang berasal dari negeri ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-13 di Dewan Perundangan Negeri, Wisma Sri Pahang di sini hari ini. Persidangan pembukaan DUN Pahang itu di hadiri oleh Yang Dipertua DUN, YB Dato’ Sri Haji Ishak bin Muhammad dan kesemua 40 orang Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.

Pada masa yang sama, Baginda berharap kontraktor dan pengusaha menganggap projek berkenaan sebagai satu cabaran untuk membuktikan kemampuan anak tempatan supaya mereka tidak ketinggalan dalam menikmati rezeki daripada projek itu. Kebawah Duli Pemangku Raja Pahang turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana yang telah berjaya mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri dengan unjuran pada kadar 4.6 peratus pada tahun ini berbanding 4.3 peratus pada tahun lepas. “Kerajaan telah meneruskan agenda pembangunan dengan pelaksanaan projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) mulai tahun lepas dengan 141 projek baharu dan 190 projek sambungan dengan kos RM2.4 bilion pada tahun lepas. “Saya mengharapkan projek RMK11 ini akan diteruskan dengan memberikan keutamaan kepada rakyat dan kemakmuran negara,” titah baginda.

Baginda mahu sektor pertanian dan penternakan di negeri ini terus diperkasakan bagi merealisasikan hasrat negara memaksimumkan pendapatan melalui sektor itu. “Saya gembira dengan peningkatan sebanyak 18 peratus nilai pengeluaran susu segar di negeri Pahang pada tahun lepas dan ini menunjukkan industri penternakan mampu menyumbang kepada peningkatan sumber ekonomi yang mampan dalam industri pertanian.  “Saya ingin melihat Pahang terus menyumbang kepada hasrat kerajaan untuk mencapai matlamat membekalkan bahan makanan yang cukup untuk negara dan ini penting untuk mencapai matlamat jaminan makanan untuk negara kita yang masih mengimport bahan makanan untuk rakyat”.

Baginda turut mengingatkan kerajaan negeri supaya memberikan keutamaan kepada pemuliharaan alam sekitar dalam melaksanakan semua rancangan pembangunan terutama melibatkan kawasan berisiko tinggi seperti tanah tinggi dan punca air. “Ini perlu kerana negeri ini dan isi kandungannya bakal diwarisi oleh generasi akan datang, kita wajib meninggalkan satu warisan yang berterusan dan berkekalan kepada generasi akan datang.  “Keadaan alam sekitar yang baik dan sempurna serta dikawal rapi boleh menggalakkan kegiatan pelancongan di negeri ini sekali gus boleh membantu mewujudkan kegiatan putaran ekonomi yang baik,” titah baginda.

Sehubungan itu baginda mahu semua agensi berganding bahu dalam perkara itu dan mengambil tindakan undang-undang terhadap penceroboh tanah kerajaan bagi
memastikan masa depan alam sekitar sentiasa terjamin. Menurut baginda, walaupun indsutri berasaskan kayu dan ekopelancongan menyumbang sebanyak RM96 juta hasil kepada pendapatan kerajaan negeri, namun baginda bersetuju dengan saranan menteri besar yang berhasrat meneroka sumber baharu ekonomi untuk mengelak kebergantungan kepada hasil hutan.

Turut memuliakan keberangkatan Kebawah Duli Pemangku Raja, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Negeri.