KUANTAN. 13 April 2017 bersamaan 16 Rejab 1438H – Majlis Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Bersama Institusi Agama Negeri Pahang berlangsung di Dewan Astana, Hotel Grand Darulmakmur disempurnakan dengan keberangkatan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Baginda diiringi paduka anakanda, Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. 

Baginda bertitah “terdapat perbezaan antara dahulu dan sekarang. Perkara ini dapat dilihat menerusi Mesyuarat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang berlangsung, semasa berbincang, mengkritik atau memberi pandangan dapat dilihat interaksi antara ahli-ahli cukup bernas. Justeru itu, pentingnya kita beradat dan beradap apabila menegur serta memberi pendapat menunjukkan kita orang yang bersopan. Sebagai ‘jeneral’ bagi mengemudi anak buah, hendaklah antara pegawai-pegawai jangan ada yang berlawanan. Kita mesti 1 hati, 1 wadah supaya institusi agama dapat ke tahap lebih tinggi dan boleh dicontohi.” 

Baginda bersyukur ke hadrat Allah SWT dan junjungan kasih paduka ayahanda, KDYMM Sultan Pahang juga ucapan terima kasih kepada semua pihak antaranya mantan-mantan Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Mufti Pahang dan Ahli-Ahli Majlis atas tunjuk ajar serta panduan.

Selain itu, baginda juga menyatakan peranan Kesultanan Pahang terhadap Agama Islam yang telah berjaya membawa Islam bertapak di negeri ini. Walaupun raja bertukar, syiar Islam tetap berkembang dan enakmen perundangan Islam diperkemaskan dari masa ke masa.

Mengakhiri titah, baginda mencadangkan beberapa perkara antaranya: –
I) Majlis perjumpaan bersama-sama institusi agama dapat diadakan dua kali setahun.
II) Memperkemaskan Unit Istinbat Mufti dengan mengadakan kolaborasi bersama-sama Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah untuk diwujudkan ‘research centre’ di KUIPSAS dengan bantuan dari Majlis Ugama Islam Pahang. 

Hadir sama, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, YH Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Dato’ Haji Mohamad Noor bin Abdul Rani, YAA Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Dato’ Haji Abdul Rahman bin Md Yunos, YB Pengerusi Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Haji Shamsulbahri bin Haji Ibrahim, YH Setiausaha Majlis, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Al-Fadhil Qadhi-Qadhi Daerah serta Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan.