AMPANG 20 April 2017 Bersamaan 23 Rejab 1438H – Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dan isteri, Datin Sri Rosmah Mansor menghadap menziarahi Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang baharu menjalani pembedahan kecil di sebuah hospital swasta di ibu negara. Perdana Menteri dan isteri tiba di hospital di Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu kira-kira jam 4.15 petang tadi sebaik selesai menghadiri tugas rasmi Minggu Saham Amanah Malaysia 2017 di Temerloh.

Pemangku Raja Pahang yang ditemani Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang , Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, menjalani pembedahan pada bahagian buku lali kaki kanan selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 15 April lalu. Baginda perlu menjalani pembedahan itu atas nasihat doktor selepas ujian imbasan (CT scan). Tengku Abdullah bertitah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang datang secara mengejut menziarahi baginda walaupun dalam kesibukan tugasan harian.

“Terima kasih kepada Dato’ Sri Najib serta isteri, kepada mereka yang menziarahi saya dan bertanya khabar.

“Terima kasih kepada semua terutama rakyat jelata yang mendoakan saya,”katanya.

Dalam kunjungan selama satu jam itu, Najib menasihati baginda supaya berehat secukupnya agar pulih dan sihat seperti sedia kala.

Antara yang datang mengadap ziarah Pemangku Raja Pahang sepanjang seminggu baginda bersemayam di hospital ialah Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Pahang,YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Bin Haji Shamsudin, YB Adun Chenor, Dato’ Haji Arifin bin Ismail, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, Ketua Polis Pahang, Dato’ Sarifuddin bin Abd Ghani, Setiausaha Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain,Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain dan Kadi Daerah Pekan, Ahmad Nizam bin Abdul Manan.