KUANTAN. 19 Mei 2017 bersamaan 22 Syaaban 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah selaku Ketua Agama Negeri Pahang Darul Makmur memperkenankan kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang bagi tahun 2017M/1438H adalah RM7.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Sahaja).

YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan mengumumkan kadar tersebut kekal seperti tahun lepas berdasarkan harga beras semasa di Pahang dalam majlis sidang media yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Dana Wakaf Pahang, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.

Semasa sidang media tersebut, beliau menyeru supaya umat Islam di negeri ini hendaklah melaksanakan kewajipan membayar zakat fitrah kepada Majlis Ugama Islam Pahang menerusi 896 amil yang telah ditauliahkan bermula dari awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri. Beliau juga mengingatkan bahawa kepada individu yang didapati mengutip zakat fitrah tanpa diberi kuasa oleh pihak Majlis adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013. Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Majlis Ugama Islam Pahang memperuntukkan RM6.14 juta bagi persediaan menyambut Aidilfitri menerusi Bantuan Menyambut Hari Raya Aidilfitri Asnaf Fakir dan Miskin (RM3,527,300.00) dan Bantuan Tahunan Hari Raya Aidilfitri Asnaf Muallaf (RM2,618,000.00)

Sidang media turut dihadiri oleh YH Setiausaha Majlis, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain, YH Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Dato’ Haji Halidan bin Md Daud serta Pegawai-pegawai Majlis.