TANJAK
Pemakaian tanjak atau tengkolok atau destar dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat masyarakat Melayu. Pemakaian busana ini pada kebiasaanya akan dipadankan dengan bengkung, samping dan baju Melayu beserta keris selit.
Jenis tanjak yang dipakai oleh orang-orang Melayu Pahang seperti berikut:-
Tanjak Cogan Daun Kopi
Dipakai oleh K.D.Y.M.M. Sultan Pahang. Warna rasminya adalah kuning muda, namun begitu baginda selalu memakai warna-warna latar yang gelap. Bentuk tanjak Pahang mudah dikenali daripada bentuknya yang segi tiga dan diikat secara menegak di atas dahi dan membiarkan bahagian kepala yang lain terdedah. Selain itu reka bentuk bunga atau daun itu terletak di sebelah depan tanjak tersebut.
Tanjak Raja Naik Bersiram
Dipakai sebaik sahaja raja berangkat naik daripada istiadat bersiram, sama ada sesudah selesai istiadat perkahwinan diraja ataupun pertabalan yang menandakan raja selamat bersiram. Destar jenis ini hanya dipakai oleh raja yang memerintah. Putera atau cucunda baginda tidak boleh memakai destar jenis ini. Bentuk daunnya melonjong kehadapan dan memakai dua pucuk destar yang disebut gading.
Tanjak Sekelongsong Bunga
Dipakai oleh kerabat di Raja dan Orang besar Empat Negeri Pahang. Walaupun bentuknya ini agak ringkas dan bahagian daunnya melonjong ke atas dan bahagian bawahnya mengembang seperti sebuah sekelongsong bunga, tetapi terdapat perbezaan antara destar yang dipakai oleh kerabat diraja dengan orang biasa, khususnya dari sudut posisi daun dan pucuk destar yang dipanggil sula.
Tanjak Getam Budu
Pakaian hulu untuk Orang-Orang Besar di Istana Negeri Pahang pada satu masa dahulu. Bentuknya menutup seluruh bahagian kepala pemakai yang membawa maksud menyimpan segala rahsia raja.