banner-istana

ISTANA ABU BAKAR

Istana Abu Bakar telah dibina pada awal 1960-an. Istana ini diberi nama sempena nama Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah, Sultan Pahang yang ke-IV yang memerintah pada masa itu.

Istana ini telah dijadikan Istana rasmi iaitu tempat bagi majlis adat istiadat seperti pengurniaan darjah kebesaran dan di dalamnya terdapat Balairung Seri.

ISTANA MAHKOTA

Istana Mahkota terletak di Jalan Telok Cempedak, Kuantan. Bergemerlapan indah dengan cahaya lampu menjadikan suasana pada malam hari yang menarik kepada pengguna jalan raya yang menghala ke Telok Cempedak.

ISTANA ABDULAZIZ

Kediaman rasmi KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYTM Tengku Puan Pahang. Istana ini dinamakan bersempena hasil gabungan nama KDYTM Tengku Abdullah dan KDYTM Tunku Azizah.

ISTANA PAHANG

Istana Pahang terletak di Persiaran Raja Chulan, Kuala Lumpur. Merupakan tempat kediaman kerabat diraja Pahang menginap apabila mempunyai urusan rasmi di Kuala Lumpur.

ISTANA SRI UDARA

Istana ini terletak di “Bandar Ikan Patin” Temerloh. Merupakan tempat kediaman kepada kerabat diraja Pahang menginap apabila baginda mencemar duli berangkat melawat daerah Temerloh.  

ISTANA SRI ANGKASA

Tersergam indah dibina di atas bukit dengan pemandangan yang menakjubkan. Istana Sri Angkasa merupakan tempat kediaman kepada kerabat diraja Pahang menginap apabila baginda mencemar duli berangkat melawat daerah Cameron Highlands.

ISTANA HINGGAP KUALA LIPIS

Bangunan ini asalnya adalah kediaman untuk para Pegawai British. Namun, apabila jawatan Menteri Besar diwujudkan pada tahun 1948, bangunan ini telah dipindahkan dan dibaik pulih untuk dijadikan kediaman rasmi YAB Menteri Besar Pahang. Pihak British mula mendirikan bangunan ini pada tahun 1926.

Menurut satu sumber yang diperolehi, Menteri Besar Pahang yang kedua merupakan ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Marhumah Tengku Ampuan Pahang Tengku Hajjah Afzan. Menteri Besar yang menduduki rumah tersebut hanya sehingga ke tahun 1955 sahaja. Ini berikutan perpindahan Ibu Negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan pada tahun tersebut.

Selepas pertukaran tersebut, rumah ini bertukar fungsi menjadi Istana Hinggap sehingga sekarang. Pada zaman pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah, istana ini pernah menjadi tempat bersemayam Baginda apabila berangkat melawat ke Daerah Lipis.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah juga pernah bersemayam di istana ini. Antara upacara bersejarah yang pernah berlangsung di istana ini ialah Majlis Perkahwinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajjah Afzan binti Tengku Mohamad pada 22 April 1954.

ISTANA SERI TERENTANG


Istana Seri Terentang telah dibina pada zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Mahmud Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah, iaitu Sultan Pahang yang ke-II.

Istana ini digunakan semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang ke-IV, Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah. Walaubagaimanapun, Baginda berangkat meninggalkan istana ini pada tahun 1948 dan berpindah ke Istana Kota Beram. Tinggalan yang masih wujud di tapak istana ini adalah meriam dan hiasan taman yang indah. Tapak ini juga dijadikan dusun buah-buahan di hadapan Istana Permai.

ISTANA MANGGA TUNGGAL

Pada awalnya didiami oleh Panglima Perang iaitu ayahanda kepada Almarhumah Tengku Ampuan Pahang yang mana ketika itu Panglima Perang menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Pahang yang pertama. Nama Istana Mangga Tunggal ini diambil dari sepohon pokok mangga yang berbuah hanya sebiji pada setiap kali musim berbuah di kawasan istana tersebut. Pembinaannya dilakukan oleh seorang tukang Melayu yang mahir iaitu Awang Mat Ali yang merupakan orang yang telah banyak membina istana diraja pada waktu itu. Pembinaannya dilakukan pada tahun 1934. Istana Mangga Tunggal ini juga adalah merupakan tempat bersemayam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah sebelum baginda bersemayam di Istana Abu Bakar.

ISTANA INDERA PURI


Istana ini dibina pada tahun 1960-an dan merupakan kediaman rasmi Duli Yang maha Mulia Al-Marhumah Tengku Ampuan Pahang, Raja Hajjah Fatimah binti Al-Marhum Sultan Iskandar Shah. Ia terletak berhampiran dengan Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan. Pada masa ini, tapak istana ini telah menjadi sebahagian daripada Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah.

ISTANA SAADAH

Istana Saadah dibina pada tahun 1938 oleh YH Dato’ Sang Melewar pada zaman pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah.

Istana ini terletak di Kampung Masjid, Pekan dan menjadi tempat pentadbiran negeri ketika zaman pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah.

ISTANA KUNING

Istana Kuning dibina dalam tahun 1927 sebagai tempat bersemayam Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah iaitu putera kelima Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah. Pada tahun 1931, Istana Kuning telah menjadi tempat persidangan Raja-Raja atau Durbar.

Selepas persidangan tersebut, iaitu pada tahun 1932, Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah telah mangkat dan istana ini didiami oleh isteri-isteri Baginda. Putera Baginda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah juga bersemayam di istana ini selepas kemangkatan Al-Marhum Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah dan kemudiannya bersemayam di Istana Permai kerana istana ini dirobohkan untuk mendirikan sebuah masjid iaitu Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan.

ISTANA KOTA BERAM


Istana Kota Beram dibina pada tahun 1929, dengan mengambil sebuah rumah lama yang mempunyai reka bentuk Inggeris. Rumah kayu dua lapis ini telah telah diubahsuai kepada sebuah rumah batu dua lapis.

Pada tahun 1948, Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah telah mengambil alih istana ini sebgai menggantikan Istana Seri Terentang untuk dijadikan sebagai istana rasmi Baginda. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah dan memberikan nama istana ini sebagai Istana Kota Beram.

Pada tahun 1954, Kerajaan Negeri Pahang telah membina sebuah bangunan tambahan yang disambungkan dengan istana ini dan dijadikan Balairung Seri untuk digunakan sebagai tempat mesyuarat dan upacara keraian sehingga tahun 1959.

Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah berangkat meninggalkan Istana Kota Beram selepas siapnya Istana Abu Bakar.

Pada masa ini, Istana Kota Beram telah dijadikan sebagai Muzium Negeri Pahang setelah diperkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mus’tain Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah dan Baginda telah merasmikan pembukaannya pada hari Sabtu, 21 Oktober 1976 bersamaan 27 Syawal 1396.

ISTANA MELATI


Istana Melati dibina pada tahun 1966. Istana ini terletak di Kampung Mengkasar, Pekan dan menjadi kediaman YH Dato’ Maria Menado yang ketika itu isteri kepada Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah.

Istana ini telah dibina sebagai kediaman sementara bagi menggantikan Balai Gambang yang telah terbakar pada tahun 1967.

ISTANA LEBAN TUNGGAL

Dibina pada tahun 1935. Istana ini diberi nama Leban Tunggal kerana kawasan istana itu ditumbuhi hanya sebatang sahaja pokok leban. Istana ini merupakan kediaman Yang Teramat Mulia Tengku Besar Pahang Tengku Sulaiman Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad. Bentuk istana adalah separuh batu dan separuh kayu dua tingkat dan mempunyai dua dome di kiri dan kanannya. Di samping itu juga, terdapat sebuah balai iaitu rumah kayu setingkat bertiang yang digunakan untuk orang mengadap. Istana ini didiami oleh Tengku Besar Pahang sepanjang hayatnya.