taff-logo

Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF)

PENGENALAN TAFF

TAFF merupakan sebuah pertubuhan amal yang ditubuhkan di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1996 dengan nombor pendaftaran 1402-04-11 bertarikh 11 Ogos 2004. TAFF telah mendapat taraf pengecualian cukai di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967: RUJ:LHDN. 01/35/42/51/179-6.571, berkuat kuasa dari 15 Februari 2005.

Yayasan TAFF diketuai oleh Pengasas dan juga Presiden Seumur Hidup KDYTM Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Al-Mutawakhil binti Sultan Iskandar Al-Haj. KDYTM Tengku Azizah dibantu oleh sebuah Jawatankuasa terdiri daripada 10 orang ahli yang dilantik. Keahlian Yayasan ini adalah melalui jemputan sahaja.

TAFF akan mempertimbangkan penajaan pasangan yang terpilih untuk rawatan IVF di salah sebuah Pusat Fertiliti yang mengambil bahagian di Malaysia. Kos rawatan seperti pembekuan embrio berlebihan, pemindahan embrio beku, aspirasi pembedahan sperma, ujian darah, rawatan untuk komplikasi dalam rawatan antenatal, pengangkutan dan penginapan semasa rawatan akan ditanggung oleh pasangan tersebut.

Matlamat dan Objektif

Menubuhkan dan menguruskan sebuah yayasan yang dikenali sebagai Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF) untuk menyediakan bantuan kewangan dan membantu pasangan suami isteri Malaysia yang kurang berkemampuan dan yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama dan negeri dalam mencari dan mendapatkan rawatan perubatan serta menyediakan kaunseling dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan.

Berusaha ke arah mencapai kesihatan yang baik dan sistem penjagaan kesihatan untuk semua rakyat Malaysia terutamanya dari segi kesihatan reproduktif dan pencegahan kemandulan.

Untuk mendidik rakyat Malaysia berkenaan kesihatan reproduktif dan isu-isu yang berkaitan, untuk menjana pengukuhan dan menyelaras program-program, menyebarkan maklumat dan sumber bahan serta menjalankan dan menyokong penyelidikan mengenai kemandulan reproduktif dan isu-isu yang berkaitan.

Untuk mengumpul dana bagi mencapai matlamat dan objektif.

ALIRAN PROSES PERMOHONAN

      1. KRITERIA KELAYAKAN :
        • Berdaftar sebagai pasangan suami isteri
        • Pasangan suami isteri adalah rakyat Malaysia
        • Umur isteri tidak melebihi 45 tahun
        • Bukan penderma sperma / ovum
        • Maksimum pendapatan bulanan bersama pasangan tidak melebihi RM4,000.00
        • Tempoh perkahwinan melebihi 3 tahun
      2. JIKA MEMENUHI KRITERIA :
        • Pasangan hendaklah melengkapkan dan menandatangani borang permohonan berserta borang penilaian Pakar Sakit Puan
      3. HANTAR KEPADA :
        • Jawatankuasa Teknikal sebagai saringan untuk penilaian
      4. JIKA DITERIMA, HANTAR KEPADA :
        • Kelulusan Lembaga

** Borang permohonan boleh diperolehi dari Pusat Fertiliti yang mengambil
bahagian atau dengan menulis kepada :

Tunku Azizah Fertility Foundation
Istana Abdul Aziz, Bandar Indera Mahkota
25200 Kuantan, Pahang Darul Makmur
Tel. : 09-573 3241
Email : taff2004@streamyx.com