DARJAH KEBESARAN SULTAN AHMAD SHAH PAHANG
YANG AMAT DI MULIA
Keahlian Darjah Kebesaran ini akan dianugerahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Pengganti Sultan.
Kekananan
- Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia ini adalah terkanan kepada Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia.
Kelayakan
- Orang Lelaki atau Perempuan boleh diterima menjadi ahli mana-mana Peringkat Darjah Kebesaran ini, yang telah memberikan perkhidmatan terpuji dan cemerlang kepada negeri.
- Orang-orang daripada luar negeri yang fikirkan layak oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, patut dianugerahkan kehormatan menjadi ahli Darjah Kebesaran ini akan diberi gelaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang Kehormat atau Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang Kehormat atau Setia Ahmad Shah Pahang Kehormat atau Ahli Ahmad Shah Pahang Kehormat mengikut penganugerahannya.
Penggunaan Huruf- huruf Ringkas
- Sesiapa yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Yang Amat Di Mulia boleh meletakaan huruf-huruf S.D.S.A., S.S.A.P., D.S.A.P., S.A.P., A.A.P., di hujung namanya mengikut penganugerahannya pada tiap- tiap masa.
Mohor
- Cap Mohor Darjah Kebesaran ini hendaklah bercorak seperti Lencana Sri Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia , Peringkat Pertama - Sri Sultan Ahmad Shah Pahang .
Pendaftar
- Pendaftar Darjah Kebesaran hendaklah dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Pengganti Sultan dan hendaklah merakamkan semua perjalanan mengenai Darjah Kebesaran ini di dalam satu daftar yang diuntukkan bagi maksud tersebut.
Pembatalan Darjah Kebesaran
- Jika berlaku perlucutan atau pembatalan mana-mana ahli Darjah Kebesaran ini, maka ahli hendaklah mengembalikan tanda-tanda kemuliaan untuk perkhidmatan bagi Darjah Kebesaran ini kepada Pendaftar.
Pengembalian Tanda Kemuliaan akibat Meninggal Dunia
- Jika berlaku kematian mana-mana ahli biasa Darjah Kebesaran ini serta segala tanda-tanda kemuliaan dari Negeri ini yang dipakainya hendaklah dikembalikan kepada Pendaftar oleh waris atau wakil dari ahli tersebut, melainkan mereka telah menerima sepucuk surat daripada Menteri menyatakan adalah dengan limpah kurnia Raja Pemerintah membenarkan penyimpanan tanda-tanda kemulian tersebut oleh waris ahli yang meninggal sebagai tanda penganugerahan dan penghargaan Diraja.
Tanda Kemuliaan Ahli Kehormat yang Meninggal Dunia
- Tanda kemuliaan Ahli Kehormat yang meninggal dunia tidak perlu dikembalikan tetapi, warisnya dikehendaki menghantar sepucuk surat menyatakan perkara kematian ahli tersebut kepada Pendaftar.
Darjah Kebesaran ini dianugerahkan khas oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan (atau pengganti Sultan). Darjah Kebesaran ini terdapat lima peringkat iaitu:
PERINGKAT UTAMA SRI DIRAJA SULTAN AHMAD SHAH PAHANG (S.D.S.A.)
- Penerima anugerah ini akan menyandang gelaran “Dato’ Sri Diraja”.
- Darjah Kebesaran Peringkat Pertama yang membawa gelaran Dato’ Sri Diraja adalah dicadangkan bagi kurniaan sebagai satu kehormatan yang istimewa terutamanya kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan terpuji dan cemerlang kepada Raja Pemerintah, Negeri Pahang Darul Makmur dan rakyat keseluruhannya. Pengurniaan ini biasanya diberikan kepada Pegawai Kerajaan Kumpulan Turus atau yang setaraf dengannya dalam Perkhidmatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerimanya.
- Kalung Darjah Kebesaran ini hendaklah mengandungi empat keping emas dengan ukiran bintang pecah enam, lapan keping emas dengan ukiran bintang pecah sepuluh, dua keping kerawang pin bahu emas, sekeping kerawang kepala depan rantai emas dan sekeping kerawang kepala belakang rantai emas dan dicantumkan dengan rantai perak. Di muka bagi tiap-tiap kepingan emas ini terletak sama ada ukiran Lambang Kebesaran Negeri Pahang, perkataan “Dilindungi Allah” dalam tulisan Jawi, daun kopi dan bintang berbucu sepuluh.
- Bintang Darjah Kebesaran ini adalah berupa bintang yang diperbuat daripada emas 24 karat dengan enamel berwarna hitam dan putih. Bintang Darjah Kebesaran ini berupa bintang yang berbucu lima dan mempunyai kerawang bunga kopi. Di tengah-tengah Bintang ini terletak Lambang Kebesaran Negeri Pahang.
- Lencana hendaklah berupa ukiran bintang lima bucu diperbuat daripada emas dan di mukanya terletak ukiran diperbuat daripada emas, wajah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah.
- Riband atau Selepang Darjah Kebesaran ini hendaklah selepang panajang sutera selebar 31/2 inci berwarna kuning bertepikan jaluran warna hitam dan putih dengan tiga jaluran hitam dan putih di tengah-tengahnya.
- Cara Memakai
1. Apabila memakai Kalung, Lencana hendaklah digantungkan kepada kalung itu dengan digayutkan kepada satu daripada empat keping emas yang mengandungi Lambang Kebesaran Negeri Pahang.
2. Bintang hendaklah dipakai di bawah dada sebelah kiri di sebelah luar pakaian.
3. Riband atau Selepang hendaklah dipakai dengan diselepangkan ke atas bahu kanan ke pinggang kiri. Apabila kalung tidak dipakai bersama, bagi ahli lelaki, lencana hendaklah digantungkan ke leher dengan memakai sehelai riband kecil lebarnya 2 inci yang berwarna serupa dengan riband atau selepang. Bagi ahli perempuan pula riband kecil itu hendaklah berbentuk pita (bow riband) dan dari mana digayutkan lencana dan hendaklah dipakai di dada sebelah kiri atas pada Bintang Darjah Kebesaran.
PERINGKAT PERTAMA SRI SULTAN AHMAD SHAH PAHANG (S.S.A.P.)
- Darjah Kebesaran Peringkat Pertama yang membawa gelaran Dato’ Sri adalah dicadangkan bagi kurniaan sebagai satu kehormatan yang istimewa terutamanya kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan terpuji dan cemerlang kepada Raja Pemerintah, Negeri Pahang Darul Makmur dan rakyat keseluruhannya.Pengurniaan ini biasanya diberikan kepada Pegawai Kerajaan Kumpulan Turus atau yang setaraf dengannya dalam Perkhidmatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerimanya.
- Kalung Darjah Kebesaran ini hendaklah mengandungi empat keping emas besar, dua belas keping emas kecil dan dicantumkan dengan rantai emas. Di muka bagi tiap- tiap kepingan emas ini terletak sama ada ukiran Lambang Kebesaran Negeri Pahang, keris berwarna hitam putih, perkataan "Dilindungi Allah" dalam tulisan Jawi, daun kopi dan bintang berbucu dua belas.
- Bintang Darjah Kebesaran ini berupa bintang yang diperbuat daripada emas 18 karat dan enamel berwarna putih. Bintang Darjah Kebesaran ini berupa bintang yang berbucu lima dan mempunyai lima pasang bulan bintang. Di tengah-tengah Bintang ini terletak Lambang Kebesaran Negeri Pahang.
- Lencana hendaklah berupa ukiran bintang lima bucu diperbuat daripada emas dan dimukanya terletak ukiran, diperbuat daripada emas, wajah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah
- Riband atau Selepang Darjah Kebesaran ini hendaklah selepang panjang sutera selebar 3½ inci berwarna hijau bertepikan jaluran kuning dengan tiga jaluran kuning di tengah-tengahnya.
- Masa Memakai
1. Kalung dan Lencana hanya boleh dipakai pada hari-hari istimewa yang dipanggil Hari Kalung
2. Riband atau Selepang adalah dipakai pada hari-hari atau waktu-waktu selain dari itu di mana-mana Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang Penghormatan dikehendaki dipakai apabila diperintahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan.
3. Bintang hendaklah dipakai setiap kali memakai Kalung atau Riband.
- Gelaran pemakaian - Ahli-ahli lelaki dan perempuan yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Pahang boleh menggunakan gelaran "Dato' Sri" sebelum nama mereka pada setiap masa. Isteri kepada ahli yang dikurniakan Darjah Kebesaran ini boleh menggunkan gelaran "Datin Sri" sebelum nama mereka pada setiap masa.
PERINGKAT KEDUA DARJAH SRI SULTAN AHMAD SHAH PAHANG (D.S.A.P.)
- Darjah Kebesaran Peringkat Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah dicadangkan bagi kurniaan terutamanya kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan terpuji dan cemerlang kepada Raja Pemerintah, Negeri Pahang Darul Makmur dan rakyat keseluruhannya. Pengurniaan ini biasanya diberikan kepada Pegawai Kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A, B dan C ke atas atau yang setaraf dengannya dalam Perkhidmatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerimanya.
-
Bintang Darjah Kebesaran ini hendaklah serupa dengan Bintang Darjah Kebesaran Peringkat Pertama, tetapi enamelnya berwarna biru muda.
-
Lencana - Serupa dengan Lencana Darjah Kebesaran Peringkat Pertama.
-
Riband atau Selepang Darjah Kebesaran ini hendaklah selepang panjang selebar 3½ inci yang berwarna hijau dan berjalurkan warna kuning di tepinya. Di tengah-tengahnya pula terdapat jalur kuning diapit dengan jaluran putih dan hitam.
-
Gelaran Pemakaian - Ahli- ahli lelaki dan perempuan yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Peringkat Kedua bolehlah menggunakan gelaran "Dato'" sebelum nama mereka pada setiap masa. Isteri kepada ahli yang dikurniakan Darjah Kebesaran ini boleh menggunkan gelaran "Datin" sebelum nama mereka pada setiap masa.
PERINGKAT KETIGA SETIA AHMAD SHAH PAHANG (S.A.P.)
- Darjah Kebesaran Peringkat Ketiga ini adalah dicadangkan bagi kurniaan terutamanya kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan terpuji dan cemerlang kepada Raja Pemerintah, Negeri Pahang Darul Makmur dan rakyat keseluruhannya. Pengurniaan ini biasanya diberikan kepada Pegawai Kerajaan Gred 54 ke atas atau yang setaraf dengannya dalam Perkhidmatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerimanya.
-
Lencana Darjah Kebesaran ini berupa Bintang berbucu lima yang diperbuat daripada emas dan enamel yang berwarna biru muda dan biru tua dan mengandungi Lambang Kebesaran Kerajaan Negeri. Di antara bucu-bucu kepada Bintang ini terletak ukiran lima pasang bulan sabit.
-
Riband untuk ahli-ahli lelaki pada Darjah Kebesaran ini hendaklah selepang tangkuk sutera selebar 2 ½ inci yang berwarna putih dan berjalurkan warna hitam di tepi dan di tengah dengan jaluran biru mengapiti jaluran tengah. Manakala bagi ahli perempuan, riband hendaklah berbentuk pita (bow riband) yang diperbuat dari kain sutera juga dan lebar serta warnanya serupa dengan riband ahli lelaki.
-
Gelaran Pemakaian - Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini.
PERINGKAT KEEMPAT AHLI AHMAD SHAH PAHANG (A.A.P.)
- Darjah Kebesaran Peringkat Keempat ini bolehlah dipertimbangkan kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan, Polis atau Angkatan Bersenjata Gred 48 ke atas atau kepada sesiapa sahaja yang setaraf dengannya yang difikirkan layak menerima.Pengurniaan ini adalah bagi orang yang berjasa dan melaksanakan tugas-tugas dengan cemerlang atau pun yang memberikan sumbangan dalam Badan-Badan Sukarela atau pun lain-lain kegiatan.
-
Lencana Darjah Kebesaran ini berukuran 1.9 inci, hendaklah serupa dengan Lencana Darjah Kebesaran Peringkat Ketiga.
-
Gelaran Pemakaian - Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini.