YAYASAN SRI  KENCANA KALSOM

YAYASAN SRI KENCANA KALSOM

  • Yayasan Sri Kencana Kalsom, “YSKK” merupakan sebuah Pusat Khidmat / Bantuan yang juga merupakan sebuah Rumah Perlindungan yang menempatkan mangsa - mangsa penderaan fizikal, seksual, rogol dan mental. YSKK telah digazetkan sebagai sebuah ‘Rumah Perlindungan’ di bawah Seksyen 2 Akta Keganasan Rumahtangga (Domestic Violence Act) 1994 (akta 517) mulai dari tarikh 1 Ogos 2004.
  • YSKK telah ditubuhkan pada bulan Mac 2000 di bawah naungan Duli Yang Maha Mulis Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom. KDYMM Sultan Pahang dan DYMM Sultanah Pahang telah berkenan mengurniakan penggunaan sebuah rumah dua tingkat dan sebuah kenderaan untuk pihak YSKK menjalankan operasi harian.

Tel./Fax : +609 516 3600
E-mail  : ys_kk@yahoo.com

ANTARA MATLAMAT & OBJEKTIF YSKK

  • Menyediakan tempat tinggal dan tempat berteduh kepada mangsa - mangsa penderaan atau yang memerlukan tidak kira umur, bangsa atau agama dan pada masa yang sama menyalurkan mereka kepada agensi atau jabatan yang berkaitan untuk bantuan seterusnya.
  • Membantu menyediakan khidmat nasihat, kesihatan, guaman serta kaunseling.
  • Membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan cara yang sewajarnya untuk kembali kepada masyarakat tanpa mempunyai perasaan takut, rendah diri atau bimbang disisihkan.

YSKK menyediakan sebuah tempat perlindungan sementara yang sesuai dan selamat untuk mangsa-mangsa dan anak mereka dengan bayaran yang amat minimum atau tidak dikenakan bayaran langsung (bergantung kepada jenis kes). Rumah ini beroperasi 24 jam sehari x 7 hari seminggu. YSSK mempunyai seorang Penyelia dan seorang Caretaker yang ditugaskan menjaga mangsa-mangsa yang ditempatkan di Rumah Perlindungan YSSK.

YSSK mempunyai Ahli dan Sukarelawan yang terdiri dari pelbagai latar belakang seperti Peguambela, Peguamcara, Akauntan, Peguam Syarie, Kaunselor, Pegawai Kerajaan dan lain-lain yang tidak jemu membantu secara sukarela dengan kebolehan dan pengetahuan masing-masing menolong mangsa-mangsa yang ditempatkan di Rumah Perlindungan ini.

Apabila mangsa-mangsa di tempatkan di Rumah Perlindungan YSKK, Penyelia akan mengaturkan pertemuan dan rujukan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Hospital, Peguam, Jabatan Bantuan Guaman, Kaunselor dan ahli keluarga mereka dengan penuh kerahsiaan.

Menurut rekod kami 95% dari mangsa yang mendapat khidmat di YSKK adalah beragama Islam dan penekanan dari sudut kerohanian adalah amat dititik beratkan.

Sebagai sebuah Badan Sukarela Bukan Kerajaan, YSKK bergantung sepenuhnya kepada sumbangan dan derma daripada syarikat dan orang perseorangan bagi menguruskan dan menjalankan operasi harian. Kami memerlukan sekurang-kurangnya sejumlah RM45,000.00 setahun untuk menguruskan Rumah Perlindungan ini.

Semua dana serta sumbangan adalah diberikan Pengecualian Cukai oleh Lembaga Hasil dalam Negeri (No Gazette: LHDN.01/35/42/51/179-6.5745 Bilangan 658 bertarikh 12.01.2005)