PERINGKAT PERTAMA SRI INDERA MAHKOTA PAHANG (S.I.M.P.)
- Darjah Kebesaran Peringkat Pertama yang membawa gelaran Dato’ adalah dicadangkan bagi kurniaan sebagai satu kehormatan yang istimewa terutamanya kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan terpuji dan cemerlang kepada Raja Pemerintah, Negeri Pahang Darul Makmur dan rakyat keseluruhannya. Pengurniaan ini biasanya diberikan kepada Pegawai Kerajaan Gred Turus atau yang setaraf dengannya dalam Perkhidmatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerimanya.
- Kalung Darjah Kebesran ini hendaklah mengandungi enam belas keping emas dicantum dengan rantai emas disusun berempat-empat dan bercorak dengan cogan Negeri dan lain-lain lambang Negeri serta kesemuanya diletak di atas dataran warna kuning.
- Bintang Darjah Kebesaran ini adalah berupa bintang dada berpancaran cahaya buatan perak berpin di belakang dan mengandungi cahaya biru tua dan muda berselang-selang, ditatah pula dengan bintang emas berlereng berbucu lima, di tengah dan di tepi bucu-bucu bintang mengandungi potongan cahaya intan bersegi. Di tengah-tengah merupakan gambaran Cogan Negeri yang diletak di atas tapak berwarna kuning.
- Lencana pada kalung/ Kain Selepang Darjah kebesaran ini hendaklah sama besar dan serupa bentuk dan corak bintang emas yang ditatah pada bintang dada.
- Riband Darjah Kebesaran hendaklah selepang panjang sutera selebar 3½ inci berwarna kuning dan bertepikan biru.
- Gelaran Pemakaian - Ahli-ahli lelaki atau perempuan yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran ini bolehlah menggunakan gelaran Dato' sebelum nama masing-masing pada tiap-tiap masa manakala isteri mereka boleh menggunakan gelaran Datin sebelum nama mereka pada setiap masa.
PERINGKAT KEDUA DARJAH INDERA MAHKOTA PAHANG (D.I.M.P.)
- Darjah Kebesaran Peringkat Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah dicadangkan bagi kurniaan terutamanya kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan terpuji dan cemerlang kepda Raja Pemerintah, Negeri Pahang Darul Makmur dan rakyat keseluruhannya.Pengurniaan ini biasanya diberikan kepada Pegawai Kerajaan Gred JUSA C ke atas atau yang setaraf dengannya dalam Perkhidmatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerimanya.
- Bintang Darjah Kebesaran ini hendaklah sama dengan Bintang Darjah Peringkat Pertama
- Lencana Darjah Kebesaran ini hendaklah daripada perak mengandungi bintang berpancaran cahaya berselang-selang warna perak dan hitam bertatah bintang emas berlereng berbucu lima, tepinya berpotongan intan.
Di tengah-tengah merupakan lambang-lambang Negeri di atas tapak berwarna kuning. - Riband atau Selepang Darjah Kebesaran ini hendaklah selepang panjang sutera berwarna hitam dan putih masing- masing berukuran 1 ½ inci dan bertepikan warna kuning berukuran ½ inci
- Gelaran Pemakaian - Ahli-ahli lelaki atau perempuan yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran ini bolehlah menggunakan gelaran Dato' sebelum nama masing-masing pada tiap-tiap masa manakala isteri mereka boleh menggunakan gelaran Datin sebelum nama mereka pada setiap masa.
PERINGKAT KETIGA SETIA MAHKOTA PAHANG (S.M.P.)
- Darjah Kebesaran Peringkat Ketiga ini adalah dicadangkan bagi kurniaan terutamanya kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan terpuji kepada Negeri. Pengurniaan ini biasanya diberikan kepada Pegawai Kerajaan Gred 52 ke atas atau yang setaraf dengannya dalam perkhidmatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerimanya.
- Lencana Darjah Kebesaran ini hendaklah sama dengan Lencana bagi Darjah Kebesaran Peringkat Kedua
- Riband Darjah Kebesaran ini hendaklah selepang tangkuk sutera berwarna hitam dan putih selebar 1 ¾ inci.
- Gelaran Pemakaian - Tiada
PERINGKAT KEEMPAT AHLI MAHKOTA PAHANG (A.M.P.)
- Darjah Kebesaran Peringkat Keempat ini diwujudkan supaya pengurniaannya secocok dengan taraf dan kedudukan penerima. Kedudukan Bintang ini adalah di antara Bintang A.A.P. dan Pingat P.K.C.. Pada kebiasaannya Bintang A.M.P. dikurniakan kepada Pegawai Kerajaan Gred 41/Gred 44 sama ada dalam perkhidmatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerimanya.
-
Lencana Darjah Kebesaran ini berukuran 2 inci hendaklah serupa dengan Lencana bagi Darjah Kebesaran Peringkat Ketiga.
-
Gelaran Pemakaian - Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini.
PINGAT KHIDMAT CEMERLANG (P.K.C.)
- Pingat ini boleh dipertimbangkan bagi Pegawai-Pegawai Kerajaan Gred 32/Gred 27 atau yang setaraf dengannya sama ada dalam Perkhidmatan Awam, Badan-Badan Berkanun/Penguasa-Penguasa Tempatan dan Anggota Pasukan Keselamatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerima. Pengurniaan ini adalah bagi orang yang berjasa dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan bermutu tinggi.
- Gelaran Pemakaian - Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini.
PINGAT KELAKUAN TERPUJI (P.K.T.)
- Pingat ini bolehlah dianugerahkan kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan dalam Gred 22 ke atas kepada sesiapa sahaja yang terbukti telah melaksanakan perbuatan atau perbuatan-perbuatan yang mempunyai sifat kelakuan terpuji dan berani walaupun di dalam keadaan yang membahayakan dirinya sendiri.
- Apabila suatu perbuatan yang wajar dianugerahkan pingat ini dilakukan oleh seseorang yang telah dianugerahkan pingat yang sama, pengiktirafan yang sama hendaklah diberi dengan penganugerahan kepingan kerongsang gangsa yang sama bentuknya dengan kepingan kerongsang gangsa di mana digantungkan pingat ini dan hendaklah disematkan kepada pita yang menggantungkan pingat itu. Penganugerahan kepingan kerongsang perak ini tidak terhad jumlahnya walaupun kepada orang yang telah ada menerima pingat ini. Bagi tiap-tiap kepingan yang dianugerahkan, sebuah bintang gangsa yang kecil bolehlah disematkan kepada pita apabila dipakainya sahaja.
- Gelaran Pemakaian - Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini.
PINGAT GAGAH PERWIRA (P.G.P.)
- Pingat ini bolehlah dianugerahkan kepada sesiapa yang melaksanakan sesuatu perbuatan yang paling gagah dan berani walaupun di dalam keadaan yang amat membahayakan serta mencemaskan dirinya sendiri.
- Pingat ini hendaklah diperbuat daripada perak dan berbentuk bulat. Di muka hadapannya berukiran sebuah kepala harimau dan sepasang gading, bertuliskan nama pingat dalam huruf Jawi di atas perkataan Pahang yang bertuliskan huruf Jawi manakala di muka belakangnya terukir lingkungan 16 helai daun kopi serta nama pingat ini dalam huruf Jawi, dan di tengah-tengahnya nama penerima dan tahun penganugerahan.
- Apabila suatu perbuatan yang wajar dianugerahkan pingat ini dilakukan oleh seseorang yang telah dianugerahkan pingat yang sama, pengiktirafan yang sama hendaklah diberi dengan penganugerahan kepingan kerongsang perak yang sama bentuknya dengan kepingan kerongsang perak di mana digantungkan pingat ini dan hendaklah disematkan kepada pita yang menggantungkan pingat itu.
- Penganugerahan kepingan kerongsang perak ini tidak terhad jumlahnya walaupun kepada orang yang telah ada menerima pingat ini. Bagi tiap-tiap kepingan yang dianugerahkan, sebuah bintang perak yang kecil bolehlah disematkan kepada pita apabila dipakainya sahaja.
- Gelaran Pemakaian - Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini.
PINGAT JASA KEBAKTIAN (P.J.K.)
- Pingat ini bolehlah dianugerahkan kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan dalam Gred 1 hingga 27 atau kepada sesiapa yang melaksanakan sesuatu perkhidmatan yang terpuji di Negeri ni selain daripada perbuatan keberanian dan perkhidmatan ini ditunjukkan oleh kecerdasan dan kesetiaan kepada tugas termasuk kepada perkhidmatan yang lama dan dipenuhi dengan kebolehan yang istimewa, kepujian dan kelakuan yang terpuji.
-
Gelaran Pemakaian - Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini.