PENGENALAN
Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Perhubungan Negeri Pahang telah ditubuhkan pada tahun 1973 dan bermula bergerak secara rasminya pada tahun 1974. Pengerusi pertamanya pada ketika itu ialah Yang Mulia Tengku Hajjah Azam binti Tengku Omar dengan Allahyarhamah Yang Berhormat Datuk Hajjah Mahimon binti Haji Haron sebagai setiausaha yang telah sama-sama mengasaskan pergerakan LKPIM Perhubungan Negeri Pahang. Sejak dari itu bermulalah pergerakan LKPIM Negeri Pahang dengan perlaksanaan pelbagai aktiviti kebajikan.
LKPIM Perhubungan Negeri Pahang meneruskan kesinambungan kepimpinannya apabila Al-Marhumah KDYMM Tengku Hajjah Afzan Rahimahullah binti Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad mengambil alih kepimpinan LKPIM Negeri Pahang sebagai pengerusinya yang kedua bermula dari tahun 1976 hingga tahun 1988 dengan Allahyarhamah Dato' Hajjah Zulida binti Adam sebagai setiausahanya. Di atas keprihatinan dan minat yang mendalam baginda, LKPIM telah bergerak dengan lebih aktif dan meluas dengan perlaksanaan pelbagai aktiviti kebajikan untuk wanita Islam khasnya.
Selepas kemangkatan Al-Marhumah, kepimpinan LKPIM telah diterajui pula oleh KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al Mutawakkil 'Alallah Sultan Iskandar selaku Pengerusi LKPIM Negeri Pahang yang ketiga untuk tempoh selama 10 tahun mulai dari tahun 1988 hingga 1998.
Dalam era kepimpinan KDYTM Tengku Puan Pahang, aktiviti LKPIM telah mula berkembang dengan pesat. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti aktiviti pembangunan keilmuan di kalangan ahli dan masyarakat.
Demikianlah pula seterusnya selepas pemasyhuran DYMM Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom, baginda telah meneruskan kepimpinan LKPIM Negeri Pahang selaku pengerusinya yang keempat bermula dari tahun 1998 hingga kini dengan Allahyarhamah Dato' Hajjah Zulida binti Adam sebagai setiausaha di peringkat awal dan kemudiannya diteruskan oleh Yang Hormat Dato' Hajjah Safiah binti Samin.
Sejak dari itu bermulalah pergerakan LKPIM Negeri Pahang yang lebih menyeluruh dengan pelbagai program dan aktiviti yang meliputi bukan sahaja keilmuan malah telah mula mengambil masalah sosial sebagai keutamaan serta bergerak cergas dalam bidang-bidang lain termasuklah keagamaan, kaunseling, sukan dan rekreasi.
Pada peringkat awal penubuhannya pergerakan LKPIM Perhubungan Negeri Pahang hanyalah di peringkat negeri sahaja dan kemudiannya bergerak bersama-sama dengan ahli-ahli daerah Kuantan dan Pekan sahaja. Empat tahun kemudiannya barulah bermulanya penubuhan LKPIM di peringkat daerah dan kini kesemua sebelas daerah di negeri Pahang telah mempunyai cawangan pertubuhan LKPIM di peringkat daerah masing-masing.
Dengan terbentuknya biro-biro perkhidmatan dalam pengurusan LKPIM Perhubungan Negeri Pahang, segala aktiviti dan program di bawah skop peranan dan tanggungjawab LKPIM telah dapat dijalankan dengan lebih baik dan tersusun. Biro-biro yang telah diwujudkan ialah :
- Biro Agama
- Biro Kebajikan
- Biro Pendidikan
- Biro Sosial dan Sukan
- Biro Bangunan
Sesungguhnya, LKPIM Negeri Pahang amat bertuah kerana mendapat tempat yang amat istimewa di hati KDYMM Sultan Pahang, Sultan dan Raja Pemerintah yang amat di sayangi rakyat. Baginda memberikan perhatian khas kepada perjalanan dan peranan yang dimainkan oleh LKPIM Negeri Pahang dengan sentiasa mengurniakan idea dan titah nasihat untuk LKPIM berjalan dan bergerak di atas prinsip dan landasan yang betul menepati matlamat persatuan ini ditubuhkan.
Kemudahan-kemudahan yang terdapat di bangunan LKPIM Pahang antaranya :
• Ruang Pejabat
• Bilik Mesyuarat Jawatankuasa
• Dewan Serbaguna
• Asrama yang boleh memuatkan 80 buah katil
• Bilik Warga Emas
• Pusat Khidmat Wanita
• Pusat Asuhan Kanak-kanak
• Bilik Kelas Komputer
• Bilik Kelas Tuisyen
• Bilik Kelas KAFA
• Kafeteria
Hubungi :
No. Telefon : 09-5156661
No. Faks : 09-5156662
Email : lkpimpahang@yahoo.com
Alamat : Lot 4531 Jalan Teluk Sisek, Kuantan