banner-sultan-pahang

BIODATA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN PAHANG

NAMAKEPUTERAANPENDIDIKANPERKAHWINAN DENGAN KDYMM TENGKU AMPUAN PAHANGPERLANTIKAN DIRAJAPERLANTIKAN YANG DIPERTUAN AGONGKEMANGKATAN KDYMM TENGKU AMPUAN PAHANGPERKAHWINAN DENGAN DYMM SULTANAH HAJJAH KALSOMKEPIMPINANNAMA ISTERIPUTERA DAN PUTERIALAMAT PEJABAT
sultan-pahang new

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH
IBNI AL-MARHUM SULTAN ABU BAKAR RI'AYATUDDIN AL-MU'ADZAM SHAH

DKP., DK., DKM., SSAP., SIMP., DMN., DK.(Perak), DK.(Johor), DK.(Kelantan),
DK.(Terengganu), DK.(Perlis), DK.(Kedah), DKMB., DK.(Brunei), DK.(Negeri Sembilan), DK.(Selangor), Qiladah Badr Al-Kubra (Saudi Arabia)., Qiladah Al-Sheikh Mubarak Al-Kabir (Kuwait)., Grand Order of the Mugunghwa (South Korea), Hon. D.Litt (Malaya)., LLD. Hc. (Northrop USA)., Hon. D. Sc. (Bedfordshire, UK)., Hon. PhD. (Civil Engineering) (Universiti Malaysia Pahang).

  • Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah telah diputerakan tepat jam 12.00 tengah hari pada hari Jumaat, 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal (bersebelahan Istana Kuning, Pekan Lama) Bandar Diraja Pekan.
  • Baginda merupakan anakanda ketiga Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah dengan Al-Marhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Hajjah Fatimah binti Al-Marhum Sultan Iskandar Shah.
  • Baginda diasuh dan dididik dalam pandangan serta perhatian Paduka Ninda baginda iaitu DYMM Sultan Iskandar Shah Perak yang bersemayam di Kuala Kangsar, Perak.
  • Kebawah Duli Yang maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah memulakan persekolahannya di Sekolah Melayu di Kuala Kangsar, Perak. Setelah tamat pelajaran darjah empat baginda telah melanjutkan pelajarannya ke Maktab Melayu Kuala kangsar dan ketika itu baginda baru berusia 10 tahun.
  • Namun begitu, pelajaran baginda telah terganggu semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu pada akhir tahun 1941. Baginda kemudiannya dibawa pulang ke Pahang.
  • Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu, baginda telah dihantar belajar asas-asas agama di Kuliah Al-lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar, Padang Polo, Pekan. Baginda kemudiannya menyambung semula persekolahannya di Sekolah Clifford, Kuala Lipis. Di sana, baginda tinggal di asrama bersama-sama dengan para pelajar lain dan baginda sendiri tidak mahu dilayan seperti putera raja, sebaliknya baginda banyak bergaul dengan pelajar-pelajar dari kalangan rakyat biasa. Baginda kemudiannya dihantar semula untuk menyambung pelajaran di sekolah lama baginda iaitu Maktab Melayu Kuala Kangsar.
  • Pada 25 Mei 1944, dalam satu upacara adat istiadat diraja yang meriah, baginda telah dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang di Istana Seri Terentang, Pekan. Sebagai waris takhta, gelaran tersebut telah dimasyhurkan bagi kali kedua pada 29 Mei 1949.
  • Pada tahun 1948, baginda telah ke England dengan menaiki kapal laut yang bernama Audre Lebon dan pelayaran tersebut telah mengambil masa selama 25 hari. Baginda melanjutkan pelajaran di Sekolah Persendirian Sussex sebelum memasuki Worchester College, Oxford bagi mengikuti Kursus Pentadbiran Awam dalam tahun 1950.
  • Setelah tamat pengajian di Oxford, baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti College Exeter, Devon dari tahun 1951-1953 dan mendapat latihan praktikal dalam bahagian Kerajaan Tempatan di Urban District Council Sidmouth, Devon.
  • Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajjah Afzan binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad pada 24 April 1954.
  • Perkongsian hidup di antara baginda dengan Kebawah Duli Yang  Maha Mulia Tengku Ampuan Hajjah Afzan telah dikurniakan dua orang putera dan lima orang puteri.
  • Baginda pernah dilantik beberapa kali menjadi Pemangku Raja ketika Al-Marhum Seri Paduka Ayahanda baginda berangkat ke luar negeri dalam tahun-tahun 1956, 1959 dan 1965.
  • Pada 7 Mei 1974, baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang dan segala jajahan takluknya menggantikan Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah yang mangkat pada 5 Mei 1974.
  • Setelah genap setahun di atas singgahsana takhta Kerajaan Pahang, satu Upacara Istiadat Diraja yang penuh kebesaran telah diadakan di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada 8 Mei1975. Baginda telah ditabalkan dan dimahkotakan dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang dan segala jajahan takluknya.
  • Upacara pertabalan tersebut telah dijalankan dengan penuh istiadat tradisi dan penuh berwarna-warni. Bandar Diraja Pekan dihiasi indah bagi memuliakan istiadat yang bersejarah dan penuh makna itu.
  • Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah telah dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu menjadi Yang Dipertuan Agong ke-VII menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong yang ke-VI, Sultan Yahya Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim yang telah mangkat pada 25 April 1979.
  • Sebelum bersemayam selaku Yang Dipertuan Agong, baginda telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu untuk memegang jawatan Timbalan Yang Dipertuan Agong pada 21 September 1975.
  • Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah merasa amat dukacita di atas kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajjah Afzan binti Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad pada 29 Jun 1988.
  • Takdir Ilahi ini berlaku hanya 6 hari selepas kemangkatan bonda baginda. Seluruh rakyat negeri Pahang berkabung selama empat puluh hari di atas kemangkatan ini.
  • Perkahwinan baginda dengan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom pada 14 Mac 1991 telah mengubah suasana kemasyghulan yang menyelubungi baginda atas kembalinya ke rahmat Allah, permaisuri dan bonda yang dicintai. Perkongsian hidup baginda dengan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom telah dikurniakan seorang putera yang dinamakan Tengku Fahd Mu’adzam yang kini bergelar Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang.
  • Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah mempunyai pengalaman yang luas dalam lapangan ketenteraan. Pada tahun 1953, sekembalinya ke tanah air baginda beserta 116 anggota lain telah memasuki angkatan tentera sebagai Pelatih Pegawai Kadet di Port Dickson untuk menjalani latihan selama enam bulan. Latihan yang cukup intensif ini akhirnya hanya diselesaikan oleh 13 orang pelatih sahaja dan baginda adalah seorang daripada yang berjaya itu.
  • Baginda pernah ditugaskan berkhidmat dalam Batalion ke-4 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Tapah, Perak dengan pangkat Kapten. Baginda juga pernah ditauliahkan dengan pangkat Major semasa berkhidmat dengan Askar Wataniah sebagai Pegawai Sementara.
  • Semasa Indonesia melancarkan kempen konfrontasi terhadap Malaysia pada tahun 1963-1965, baginda telah berkhidmat sepenuh masa dengan Pasukan Infantri ke-12 Batalion Askar Wataniah di Kem Batu 5, Mentakab sebagai Pegawai Pemerintah.
  • Baginda merupakan seorang Raja Pemerintah yang unggul dari segi budi pekerti, berhemah dan berpengetahuan tinggi.
  • Baginda mempunyai falsafah tersendiri iaitu ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’. Baginda selalu bercemar duli mengunjungi rakyat di setiap pelusuk negeri untuk mengenal dan mengetahui segala masalah mereka.
  • Ketokohan dan kewibawaan baginda sentiasa dikagumi. Baginda dikagumi atas keprihatinan serta sering menghulurkan bantuan terhadap rakyat yang menghadapi kesukaran.
  • D.Y.M.M.-Almarhumah-Tengku-Hajah-Afzan-binti-Almarhum-Tengku-Muhammad1. D.Y.M.M. Almarhumah Tengku Hajah Afzan binti Almarhum Tengku Muhammad
    DMN, DK, SSAP, SIMP
    (Tarikh diputerikan :04 Disember 1933, di Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman)
    (Merupakan Raja Permaisuri Agong yang ke - tujuh pada tahun 26 April 1979 - 25 April 1984)
    (Tarikh Mangkat : 29 Jun 1988, disebabkan Kanser di Istana Pahang, Kuala Lumpur)
    D.Y.M.M.-Sultanah-Hajah-Kalsom-binti-Abdullah
    2. D.Y.M.M. Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom binti Abdullah
    DK.
    (Tarikh Lahir :12/09/1951)

    Lapan (Tiga Putera dan Lima Puteri)

    1. YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang
      Tengku Tan Sri Hajjah Meriam binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah,
      DK., SIMP., PSM., JP.
    2. YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang
      Hajjah Tengku Dato' Muhaini binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah,
      DK., SIMP.
    3. YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang
      Tengku Hajjah Dato' Aishah binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah,
      DK., SIMP.
    4. KDYTM Tengku Mahkota Pahang
      Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah,
      DK., SSAP., SIMP., DK (Terengganu)., DK (Johor)., SPMJ., PAT.
    5. YAM Tengku Muda Pahang
      Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah
      DK., SSAP.
    6. YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang
      Tengku Dato' Hajah Nong Fatimah binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah
      DK., SIMP.
    7. YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang
      Tengku Dato' Hajah Shahariah binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah
      DK., SIMP.
    8. YAM Tengku Arif Temenggong Pahang
      Tengku Fahd Mua'adzam Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah,
      DK.

    Pengelola Bijaya Diraja
    Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang
    26600 Pekan
    Pahang Darul Makmur

    TEL: 09-422 1601
    FAX: 09-422 3202

    Sumber daripada Pejabat KDYMM Sultan Pahang